BacanovelAS -Senyuman Manis Ella- AS Writer
Senyuman Manis Ella.
“Ish, mana pula si Adira ini..” Ella Nabila, gadis yang berumur 12 tahun, sudah seperti cacing kepanasan menunggu kawan baiknya, Adira Sofia yang berjanji dengannya mahu berjumpa di taman permainan yang terdapat di kawasan perumahan mereka. Sudah lama dia menunggu Adira di taman itu. Namun, dia tidak muncul-muncul juga.
“Tidak silap aku, dia kata mahu jumpa dengan aku pukul 5 petang, sekarang ini sudah setengah jam aku duduk di sini. Batang hidung dia pun aku tidak nampak. Dia ingat aku tidak ada kerja lain selain mahu menunggu dia? Dia ada masalah agaknya..” Kata Ella dalam hati. Sekiranya diikutkan hati, mahu sahaja dia pergi dari situ daripada membuang masa menjadi penunggu tanpa gaji. Tetapi, tidak sampai hati pula. Fikirnya mungkin Adira ada hal sebelum dia sempat ke sini.
Mata Ella tidak henti-henti melihat jam tangan kepunyaannya. “Aku balik dululah…Lama sangat tunggu. Mungkin dia ada hal penting.” Ella terus bangun dari bangku yang didudukinya. Dia terus berjalan menuju ke rumahnya yang tidak jauh dari situ. Fikirannya tidak putus-putus teringatkan Adira. Sebelum ini, Adira jika ada apa-apa hal, pasti dia akan memberitahu dirinya. Namun, kali ini tidak pula. Aneh…
Keesokan paginya,
“Peliklah, Adira ini. Biasanya pagi-pagi begini, kita akan menunggang basikal bersama-sama. Namun hari ini, dia pergi ke sekolah lebih awal dari aku. Pasti ada yang tidak kena.” Pagi itu, Ella menunggang basikalnya seorang diri sahaja. Memandangkan Adira pergi ke sekolah lebih awal daripada biasa.
Basikal Ella memasuki kawasan sekolahnya. Apabila masuk di Kawasan sekolah, dia harus menuntun basikalnya hinggalah ke tempat letak basikal yang disediakan oleh pihak sekolah. Seusai itu, Ella memerhati sekelilingnya.
“Eh, aku tidak boleh terus masuk kelas. Hari ini aku ditugaskan untuk menjaga pintu pagar belakang sekolah.” Mata Ella terus melihat jam tangannya setelah menyedari itu.
“Sekarang baru sahaja 6:53 pagi. Aku kena pergi sekarang. Jika tidak, Cikgu Alice pasti perasan kerana tiada pengawas yang bertugas pada pintu pagar belakang sekolah.” Ella terus berjalan laju ke pintu pagar belakang sekolah. Hatinya gerun membayangkan wajah Cikgu Alice yang garang seperti singa akan marah kepadanya jika tidak melaksanakan tugas yang diberi dengan baik. Siapa yang berani berhadapan dengan Cikgu Alice, cikgu disiplin sekolah yang sentiasa menitikberatkan hal disiplin dan adab dalam diri setiap pelajar. Sesiapa yang cari pasal, umpama sedang menempah maut!
Masih tiada pelajar yang memasuki pintu belakang sekolah. Ella jadi bosan menjadi penjaga pagar yang tidak bertauliah di situ. Tetapi, itu memang satu perkara yang normal. Para pelajar akan berpusu-pusu masuk ke sekolah pada pukul 7 pagi. Ella perlu kembali ke kelasnya pada pukul 7:10 minit pagi. Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya beberapa pelajar melalui pintu pagar sekolah. Ianya umpama pengubat kebosanan bagi Ella, mukanya yang kelihatan mamai tadi, segar semula.
“Assalamualaikum . Selamat pagi.” Tegur Ella sopan kepada semua pelajar yang melalui pintu pagar itu. Masing-masing daripada mereka juga tidak kekok untuk menjawab salam Ella kerana masing-masing sudah pun mengenali Ella. Begitulah Ella. Dia seorang yang sangat peramah dan pemurah dengan senyuman manisnya. Sesiapa sahaja yang melihat senyuman Ella pasti akan merasakan bahagia. Sangatlah kuat aura positif yang terdapat pada Ella ini.
“Assalamualaikuum. Selamat pagi, Kak Ella. Kak Ella apa khabar? Sihat?” Seorang gadis menegur Ella dengar ramah lagi. Siapa lagi kalau bukan Nayla, gadis kecil comel molek yang berumur 9 tahun merupakan adik angkat Ella di sekolah. Fuhh..Hebat sungguh Ella ini. Siap ada adik angkat lagi. Namun, perkara ini tidaklah menghairankan kerana Ella memang mempunyai ramai adik angkat di sekolah. Boleh dikatakan tidak terkiralah jumlahnya. Rata-rata mereka menyukai Ella kerana dia ialah seorang yang ceria dan pandai bergurau dengan mereka. Malah, apabila ada wang saku lebih, Ella akan membelanja mereka gula-gula yang dijual di kantin sekolah. Makin ramailah budak-budak yang menyukai Ella disamping perwatakannya yang ceria dan pemurah.
Ella tersenyum sebelum menjawab salam Nayla. “Waalaikumussalam…Kak Ella sihat. Nayla sihat ataupun tidak?”
“Kalau Nayla tidak sihat, Nayla akan baring dan tonton televisyen di rumah. Tidak perlulah Nayla susah-susah datang sekolah. Nanti bolehlah Kak Ella belikan Nayla gula-gula lagi.” Ada senyum nakal di hujung kata. Nayla memang gemar bermanja dengan kakak angkatnya.
“Amboi…Asyik makan gula-gula sahaja. Kalau gigi Nayla rosak, nak buat macam mana? Nanti, orang lain sudah tidak panggil Nayla comel lagi. Nanti mereka akan panggi Nayla rongak. Waktu itu nanti, jangan salahkan Kak Ella sebab tak ingatkan, ya?” Ella tersenyum sumbing melihat pipi Nayal yang semakin tembam dari hari ke hari.
“Lepas makan gula-gula, Nayla gosoklah gigi. Mama dan papa Nayla pun cakap macam itu.” Nayla membalas kata-kata Ella. Walhal, di dalam hatinya turut berasa takut sekiranya dia makan gula-gula berlebihan, giginya akan rongak.
“Lagipun, kalau Nayla sakit, tidak dapatlah Kak Ella nak dengar Nayla membebel. Nanti rindu tahu. Mana boleh tidak dengar suara Nayla walau sehari. Bukankah Nayla adik angkat Kak Ella?” Ella pun tidak kurangnya. Selalu sahaja bermanja dengan adik-adik angkatnya.
“Yalah, Kak Ella. Nayla pun akan rindu Kak Ella kalau tidak dengar setiap hari Kak Ella usik Nayla…” Nayla menjuihkan bibirnya persis seperti budak yang merajuk tidak dibelikan ais krim.
Ella menghembuskan nafas lembut. Dia memang tidak pernah penat melayan karenah budak seperti Nayla yang kuat bermanja. “Tahu pun. Sudahlah. Nayla pergi masuk kelas. Nanti Nayla lambat pula.”
“Haahlah..Tidak apalah Kak Ella. Nayla masuk kelas dulu. Assalamualaikum. Nayla sayang Kak Ella tahu!” Kata Nayla sambil bersalam dengan Ella. Dia tersenyum nakal sambil memandang Ella.
“Waalaikumussalam. Kak Ella pun sayang Nayla.” Ella layan sahaja prilaku Nayla yang manja. Tentu dia selesa sangat menjadi adik angkat Ella.
Ella memerhati Nayla yang makin lama berjalan jauh ke kelasnya. Hatinya menjadi senang dan tenang melihat Nayla gembira begitu. Nayla seorang yang anak yatim piatu. Mama dan papa yang dimaksudkan tadi ialah ibu dan bapa saudaranya yang rela hati untuk memeliharanya. Dia kelihangan ibu bapanya sewaktu umurnya 6 tahun. Sungguh sayu hati Ella apabila teringat balik nasib malang yang menimpa gadis kecil itu. Ella berharap Nayla, seorang manusia terpilih untuk kehilangan ibu dan ayah semenjak usia muda, sentiasa tersenyum dan kuat dalam menjalani hidupnya.
Tepat pukul 7:10 minit pagi, Ella menutup pintu pagar dan berjalan laju untuk menuju ke kelas 5 Melati, kelasnya untuk berjumpa dengan Adira. Waktu pembelajaran akan bermula pada pukul 7:20 minit pagi. Masih berbaki 10 minit untuk bersiap sedia sebelum waktu pembelajaran bermula. Ella melangkah masuk ke dalam kelas 6 Melati. Keadaan kelas itu agak riuh-rendah dengan pelajar-pelajar yang bercakap sesama sendiri, membuat kerja sekolah dan sebagainya. Mata Ella mencari kelibat Adira.
“Ah, itu pun Adira.” Ella ternampak Adira sedang duduk termenung jauh di tempatnya. Raut wajahnya kelihatan sangat muram. Walaupun dilihat daripada jauh, sesiapa pun akan tahu yang Adira sedang bersedih. Ella berjalan mendekati Adira yang sedang termenung sehingga tidak menyedari bahawa Ella sedang berjalan mendekatinya.
“Assalamualaikum. Jauhnya awak termenung, Adira...Sudah sampai mana agaknya, ya?” Ella mengambil tempat duduknya bersebelahan dengan Adira. Dia meletakkan beg galas yang dipakainya belakang kerusinya. Dia mengurut bahunya yang terasa agak lenguh kerana dari tadi menggalas beg.
Adira tidak membalas Ella. Malah, mulutnya terkatup rapat tidak berkata walau sepatah. Ella dapat melihat bawah mata Adira sedikit bengkak. Hati Ella merasakan sesuatu yang tidak kena dengan Adira.
“Awak ada masalah, ya? Ceritakanlah pada saya. Mungkin saya boleh tolong.” Risau dengan keadaan Adira yang tidak mahu bercakap dari tadi. Biasanya Adira ialah seorang yang banyak mulut. Jarang sungguh Adira diam tidak berkata apa-apa apabila berada dengan Ella, pasti ada sahaja gosip yang ingin diceritakan. Kalau Adira diam dalam satu masa itu, pasti ada yang tidak kena.
Mendengar sahaja Ella berkata sebegitu, tiba-tiba sahaja mata Adira berair. Ella menjadi bingung dengan situasi itu. Adira melentokkan mukanya ke bahu Ella sambil menangis teresak-esak, Ella menepuk lembut belakang badan Adira mahu meredakan tangisannya.
“Hei, sudahlah. Malulah jika orang lihat awak menangis begini. Apa pula mereka kata nanti..” Ella memujuk Adira yang sedang tersedu-sedan berharap akan berhenti.
Adira bangun dari bahu Ella lalu mengesat air matanya beberapa kali. Perlahan-lahan dia berkata dengan nada suara yang agak rendah, “Nina..”
Ella pelik. Nina ialah seekor kucing betina yang dibela oleh Adira. Kucing itu sangat jinak dan manja. Adira sangat sayang pada Nina. Dia memang tidak boleh berenggang dengan Nina walaupun sekejap. Mereka akan sentiasa bersama. Nina juga begitu. Kucing itu selalu sahaja mengekori Adira di mana sahaja. Adira dan Nina akan makan bersama-sama, tidur, membaca buku, beriadah di taman pada waktu petang dan sekiranya Adira mahu pergi ke sekolah, pasti dia mahu ikut juga. Dipendekkan cerita, mereka memang bagai isi dengan kuku. Memang tidak boleh dipisahkan.
“Kenapa dengan Nina?” Ella bertanya meminta dijelaskan.
Adira terdiam seketika. Setelah tiga saat berlalu, dia bersuara, “Nina...dia kena langgar dengan kereta depan rumah saya...Dia sudah mati...” Mata Adira kembali berair setelah menyatakan berita itu kepada Ella.
Ella terdiam seribu bahasa. Nina? Sudah mati..? Ella turut terkejut dengan berita yang disampaikan itu. Hatinya dirundung perasaan hiba yang amat. Terkenangkan kucing betina yang manja dan aktif sudah tiada di dunia lagi.
“Sabar, ya? Bukankah ustaz ada kata, setiap pemergian itu, ada hikmahnya? Awak kenalah bersabar.” Ella tidak putus-putus memberikan kata-kata nasihat agar Adira tetap kuat hati dan tabah menghadapi pemergian Nina.
Mendengar sahaja Ella berkata begitu, Adira tersenyum.
“Awak memang pandai beri nasihat, Ella. Terima kasih.” Senyuman Adira semakin lebar. Hatinya semakin kuat menyatakan pemergian Nina ada hikmahnya seperti yang diperkatakan oleh Ella.
Ella turut tersenyum melihat Adira yang sudah tidak lagi menangis. Terbit senyuman manis di bibir Adira. “Haa...Macam itulah. Jangan menangis lagi. Awak boleh cari kucing lain. Tetapi, saya cadangkan awak tidak payah lagi bela kucing. Awak belalah pula hamster atau ikan? Tetapi jangan awak bela zirafah pula belakang rumah awak. Nanti tinggal ranting kayu sahaja pada pokok kawasan perumahan kita. Habis dimakan zirafah belaan awak.” Ella terkekek apabila mendengar lawak yang dibuat sendiri.
“Apa kelas bela zirafah..? Baik saya bela dinosaur di belakang rumah saya. Lagi hebat daripada zirafah, bukan?” Mereka berdua tergelak. Adira tidak mengambil hati lansung dengan guraan Ella. Dia faham bahawa gurauan Ella hanya untuk menenangkan hatinya.
Tiba-tiba sahaja, suara Fiqry, ketua kelas mereka melaung kuat, “Bangun..! Selamat pagi, Cikgu Mila!” Tanpa mereka sedari, Cikgu Mila, cikgu yang mengajar kelas mereka subjek Matematik
sudah menjejak masuk ke kelas mereka. Mereka sekelas pun memberi salam kepada Cikgu Mila yang memasuki kelas mereka.
“Kringg!!”
Loceng sekolah berbunyi kuat menandakan waktu rehat sudah tiba. “Bangun..! Terima kasih, Cikgu Alice!” Suara Fiqry melaung lantang mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Alice yang mengajar mereka Bahasa English.
Berpusu-pusu pelajar keluar dari kelas. Masing-masing berjalan laju menuju ke kantin sebelum mereka perlu beratur panjang mahu membeli makanan. Ella dan Adira juga tidak terkecuali. Mereka bukan berjalan laju menuju ke kantin, tetapi menuju ke perpustakaan sekolah.
“Ishh, kenapa awak tidak pulangkan buku yang awak pinjam dari perpustakaan itu awal pagi tadi? Perut saya sudah berkeroncong, tahu?” Ella memimpin tangan Adira yang malas mahu mengikutnya memulangkan buku di perpustakaan.
“Kenapa awak tanya? Saya bukan main risaukan awak sebab semalam awak janji mahu berjumpa dengan saya di taman, tetapi awak tidak muncul-muncul juga. Awak biarkan saya tunggu selama setengah jam, tahu? Pagi tadi saya bertugas jaga pintu pagar belakang. Masa yang berbaki 10 minit itu pun saya gunakan mahu berjumpa dengan awak.” Ella memandang Adira yang dari tadi memuncung.
“Yalah..Saya minta maaf biar awak tunggu saya sampai setengah jam...Nanti saya belanja awak karipap dua biji di kantin nanti, ya?” Suara Adira seakan-akan memujuk Ella. Dia menganggap Ella merajuk kerana dia membiarkan Ella selama setengah jam semalam.
“Saya gurau sahajalah..Saya okey sahaja. Awak tidak perlulah belanja saya. Seronok juga jadi penunggu di taman semalam. Habis semua orang saya tegur. Tambah kenalan. Saya pun nak cakap terima kasih pada awak. Kalau awak datang semalam, saya tidak dapatlah tambah kenalan saya.” Ella tersenyum. Memang begitu sifat asli Ella. Peramah dan ringan mulut untuk berkenalan sentiasa. Walau dengan sesiapa sahaja.
“Awak sindir saya, ya?” Kata Adira memandang tajam mata Ella. Dia terasa disindir pula apabila Ella berkata begitu kepadanya.
“Eh, tidaklah. Saya tidak sindir awaklah...Saya bercakap benar. Saya dapat ramai kawan baru seusia kita semalam. Ada seorang itu, nama dia Jannah. Dia kata dia itu orang yang baru pindah di taman perumahan kita dan dia pun sebaya dengan kita. Dia tinggal di rumah yang lama kosong di hujung taman kita. Selang satu rumah ialah rumah awak.” Kata Ella bersungguh-sungguh menjelaskan kepada Adira. Berharap sangat Adira tidak terasa hati. Dia memang tiada niat mahu menyindir kawannya. Dia sekadar berkata kenyataan.
“Cantik tahu orangnya..Kulitnya putih dan bulu matanya lentik. Baik dan peramah Jannah itu. Saya lansung tidak kekok bercakap dengannya walaupun kami baru sahaja berkenalan. Cemburu betul saya melihatnya.” Sambung Ella lagi.
“Kenapa pula awak nak cemburu? Kalau awak mahu tahu, awaklah orang paling cantik pernah saya jumpa, Ella. Baik? Awak lagi baik daripada dia. Kalau awak nak cakap pasal peramah, awaklah orang yang paling pandai bergaul di sekolah ini, tahu? Semua orang awak nak berkawan. Baik lelaki ataupun perempuan, semuanya kawan awak. Lagipun, hampir semua junior kita ialah adik angkat awak. Awak tidak perlu cemburulah.” Bukan main panjang lebar Adira berkata. Bagai kilat yang bersambung-sambung dia berceloteh. Tiada peluang lansung Ella mahu mencelah.
“Amboii...Lajunya awak cakap. Ini puji lebih-lebih mesti ada sebab..Cepatlah cakap. Apa yang awak nak puji saya ini? Awak nak saya belanja awak Ais Krim Malaysia lepas sekolah nanti, ya?” Ella dapat meneka apa yang bermain di fikiran Adira kini.
“Eh..mana ada. Saya puji awak ini ikhlaslah..Tidak baiklah awak ini..” Bibir Adira sudah muncung ke depan persis gaya itik.
“Ya,ya..Saya percayakan awaklah..Saya minta maaf, ya? Bersangka buruk dengan awak. Selepas habis sekolah nanti, saya belanja awak Ais Krim Malaysia, okey?” Ella lekas memujuk apabila mendapati raut wajah Adira sudah berubah masam. Begitulah sikap Ella yang paling disukai ramai, dia ringan mulut apabila ingin menuturkan kata maaf dan terima kasih. Siap nak pujuk dengan Ais Krim Malaysia lagi. Baik sungguh hati Ella ini.
“Wahh..Baiknya awak, Ella! Saya tidak payah minta pun pada awak. Awak sudah mahu belanja saya. Terima kasih, best friend..” Kata Adira sambil merangkul erat bahu Ella. Ella tersenyum sahaja melihat perangai Adira yang persis seperti seorang kanak-kanak.
“Sudah, sudah. Awak ini..Seperti budak kecil sahaja. Sudahlah. Saya mahu ke dalam perpustakaan dulu. Awak duduk di luar sebentar. Nanti kita pergi kantin bersama-sama.” Ujar Ella kepada Adira sambil membuka kasut sarungnya untuk memasuki perpustakaan.
Adira sekadar mengangguk. Sementara menunggu, dia menoleh kiri dan kanan. Iyalah...buatnya kalau jumpa atlet sekolah, Adam, yang berkarisma itu. Pasti dia sudah bersiap-siap ingin bersemuka dengannya. Fuh..Tinggi sungguh anganan gadis itu. Mahu bersua muka dengan Adam, atlet sekolah yang terkenal memang tidak masuk akal sangat. Dia bukanlah sesiapa di sekolah sampai atlet sekolah mahu berborak dengannya. Bahkan, Adira dan atlet sekolah itu tidak pernah bertegur sapa walau sepatah pun. Lainlah dengan Ella, dia itu Pengerusi Kelab Wartawan dan Hiburan sekolah. Sudah pasti dia dapat bertemu ramah dengan atlet sekolah tersebut. Malah, disebabkan keramahan Ella dalam berkomunikasi, mereka sudah menjadi kawan. Walaupun Adira mencuba untuk bertegur sapa dengannya, dia sendiri malu dan sama sekali tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Haih..Adira ini.
Sementara Ella di dalam perpustakaan, dia segera ke kaunter untuk memulangkan buku cerita yang dipinjam kelmarin. Di kaunter dijaga oleh seorang pengawas yang bernama Afiyah Dina yang sememangnya terkenal dengan perwatakannya yang suka bergosip. Sekiranya Ella menghampirinya, pasti ada sahaja gosip panas yang ingin disampaikan kepada gadis itu.
“Assalamualaikum, Afiya. Awak apa khabar? Sibuk sahaja saya lihat awak ini.” Tegur Ella tatkala melihat Afiya sibuk menulis sesuatu di atas sebuah buku panjang. Nampak gayanya sibuk sangat! Sekiranya Ella tidak menegurnya tadi, mesti dia tidak sedar kehadiran Ella di situ.
“Ah, awak rupanya Ella. Waalaikumussalam..Saya sihat. Yalah, saya sibuk sedikit sejak dua menjak ini. Cikgu Najwa akan adakan Storytelling Competition sempena minggu Bahasa English yang akan diadakan dua minggu lagi. Itulah saya sibuk sedikit nak buat senarai penyertaan untuk pertandingan ini. Awak berminat mahu masuk pertandingan ini, Ella?” Rupa-rupanya Cikgu Najwa, cikgu yang menguruskan hal perpustakaan itu ada mengadakan Storytelling Competition sempena minggu Bahasa English yang bakal menyusur dua minggu lagi. Siap bertanya lagi pada Ella sama ada berminat atau tidak.
Ella terdiam seketika. Dia tidak tahu ingin menjawab bagaimana. Manakan tidak, soalan itu secara mengejut ditanya kepadanya. Dia lansung tiada sedetik dua mahu berfikir.
“Tidak perlulah awak fikirkan sangat, Ella. Awakkan pandai Bahasa English. Kalau awak masuk pertandingan ini, saya jamin awak menang.” Amboi, Afiya. Ada jaminan lagi bahawa Ella akan menang kalu dia menyertai pertandingan tersebut.
Terbutang mata Ella mendengar jaminan yang dikatakan Afiya itu. “Eh, apa pula awak ini, Afiya. Saya pun tidak fikirkan lagi. Awak seperti tahu-tahu sahaja yang saya akan menang nanti, ya? Awak ada bakat menilik masa hadapan, ya?” Gurau Ella sambil tersenyum melihat Afiya yang sudah terkekek-kekek ketawa mendengar gurauan Ella itu.
“Ishh, awak ini, Ella. Ada-ada sahaja. Awak ada apa datang ke kaunter ini?” Tersentak Ella terus teringat tentang tujuan asalnya datang ke perpustakaan itu.
“Ya, Allah! Adira!” Desis hati Ella teringatkan Adira yang sudah lapar menunggunya di luar perpustakaan. Hatinya diselubungi rasa bersalah kerana membiarkan kawannya itu menunggu di luar dengan masa yang agak lama.
“Ah, ya! Ini saya mahu pulangkan buku yang saya pinjam kelmarin. Saya kena cepat ini. Adira tunggu saya di luar. Saya pergi dulu ya. Assalamualaikum!” Laju Ella berjalan menuju ke luar pintu perpustakaan. Tujuannya hanya satu. Mahu melihat masih adakah Adira yang sedang menunggunya.
Ella mengungkapkan kata lega setelah melihat Adira masih ada di situ. Dia segera menyarung kasut sekolahnya lalu berjalan menghampiri Adira yang sedang memuncung memandang dirinya.
“Adira...Saya minta maaf, ya? Tadi saya berjumpa dengan Afiya sewaktu mahu memulangkan buku. Itulah saya terleka berborak dengannya sehingga saya lupa awak ada menunggu saya di luar ini. Saya minta maaf, ya?” Ella meminta maaf berkali-kali. Ini kerana dia menyedari dia meninggalkan Adira menunggunya agak lama. Sudah pasti kawan baiknya itu merajuk.
Adira tetap memuncung. Tidak ubah seperti budak kecil. Ella sendiri tidak faham dengan perangai Adira yang kuat mengajuk ini. Tetapi dia sudah terbiasa dengan perangainya ini. Daripada mereka berumur 6 tahun, sehinggalah sekarang mereka berumur 12 tahun. Perangainya tetap sama. Adira..Adira..
“Saya minta maaf buat awak tertunggu-tunggukan saya. Saya bukannya sengaja. Sorry, dear..” Ella sedaya-upaya memujuk agar Adira boleh memaafkan kesilapannya. Dia memang tiada niat mahu membuat Adira tertunggukannya.
“Baiklah, sebab orang itu sudah merayu. Saya maafkan. Tetapi kalau awak buat saya menunggu macam bodyguard awak lagi, tahulah apa saya kan buat pada awak.” Adira memberi amaran.
Ella tersenyum manis. Lega hatinya apabila Adira sudah memaafkan dirinya. “Sudahlah...Marilah kita ke kantin. Awak kata awak lapar tadi, bukan?” Ujar Ella sambil berjalan berpimpinan tangan dengan Adira.
“Kringg!!”
Bunyi loceng sekolah itu sekali lagi bergema di seluruh kawasan sekolah. Mendengar sahaja loceng itu, semua pelajar sudah tidak mengedahkan lagi arahan guru yang ada di depan mereka.
“Ella, hari ini saya tidak dapat balik dengan awak. Baba saya akan ambil saya sebentar nanti menaiki kereta. Maaf, ya?” Ujar Adira sambil menggalas beg galasnya.
“Eh, tidak apa. Saya boleh balik sendiri. Kirimkan salam saya pada baba awak, ya?” Kata Ella sambil membetulkan tudung sekolah yang dipakainya.
“Baiklah. Nanti saya akan sampaikan salam awak pada baba saya. Awak elok-elok nanti bawa basikal. Jangan sibuk nak tegur orang tetapi tidak pandang depan. Assalamualaikum.” Kata Adira sambil berlalu pergi meninggalkan Ella. Sempat lagi Adira memerli Ella.
Ella sekadar tersenyum. Dia berjalan keluar dari kelas lalu berjalan menuju ke tempat meletakkan basikalnya. Dia menaiki basikalnya lalu mengayuh laju basikalnya itu keluar dari kawasan perkarangan sekolah. Fikirannya melayang kepada perbualannya dengan Afiya sewaktu rehat tadi. Dia menjadi tertarik dengan pertandingan bercerita di dalam Bahasa English itu. Dia selalu bercerita dalam Bahasa English kepada dua adik kembarnya yang seiras, Ayrana dan Ayrani yang baru berumur 5 tahun sewaktu malam. Si kembar itu pasti akan terlena setelah mendengar cerita tersebut. Walaupun mereka tidak faham apa yang diceritakan oleh kakaknya, tetapi mereka seolah-olah memahaminya setelah melihat intonasi dan gaya Ella bercerita. Sesiapa pun akan asyik mendengarnya.
Setelah beberapa minit mengayuh basikal, akhirnya basikal yang ditunggangnya menyusuri perkarangan rumahnya. Dia meletakkan basikalnya lalu berjalan mahu membuka pintu rumah. Dia mengeluarkan segugus kunci. Ella membuka mangga pintu rumah yang baru sahaja dikeluarkan dari poket seluarnya.
“Assalamualaikum...Ibu, Ella sudah balik.” Ella melangkah masuk ke dalam rumah. Masuk sahaja rumahnya itu, semerbak bau harum yang kuat menusuk hidungnya. Dia menjadi tertanya-tanya. Bau harum apakah yang dia hidu itu?
“Ini..ini bau Kek Coklat!” Teruja Ella setelah dapat meneka bau yang harum itu. Walaupun dia sudah kenyang makan sewaktu rehat tadi, tiba-tiba sahaja dia berasa lapar kembali. Ella terus memasuki ruangan dapur. Kelihatan Puan Aara sedang meletakkan sepotong Kek Coklat di atas sebuah piring kaca.
“Wahh, ibu! Kek Coklat...Ibu buat, ya?” Ella sudah menelan air liur apabila melihat Kek Coklat itu seperti masih panas. Ianya seolah-olah sedang memanggil Ella. Sungguh menyelerakan!
“Ibu buat? Alamatnya tidak dipanggil Kek Coklat. Ia dipanggil Kek Arang, tahu? Ini jiran baru di taman ini yang bagi. Jannah namanya. Dia kata, Ella ada berkenalan dengannya semalam. Benarkah?” Soal Puan Aara meminta kepastian.
“Jannah yang bagi kek ini? Ella memang ada berkenalan dengannya semalam. Ella adalah berborak dengan dia..Nanti Ella nak cakap terima kasih padanya jika kami terserempak.” Kata Ella sambil membasuh tangannya. Dia memang sudah terliur benar dengan Kek Coklat yang sudah ada di depan mata.
“Ibu, Ella makan kek ini dulu, ya. Ibu tidak mahu rasa? Kalau ibu mahu, ibu rasalah dulu.” Ella mendahului ibunya untuk merasai kek itu.
Puan Aara menggelengkan kepala sebelum menjawab pertanyaan anaknya. “Hari ini ibu puasa sunat. Ella makanlah kek itu. Ibu mahu jemur kain sebentar.” Kata Puan Aara sambil berlalu pergi meninggalkan Ella sendirian makan Kek Coklat yang diberikan oleh Jannah di dapur.
-BERSAMBUNG-
oke dah jumpe aisyah x nak sambung ke
ReplyDeleteWah aisyah sangat berbakat.Tak nak buat NOVEL sendiri ke baru dapat duit. Masyuklah katanya.
ReplyDelete